SEJARAH SEKOLAH SK PADANG ASAM
Maklumat berkaitan sejarah sekolah dicatat berdasarkan maklumat terkumpul
daripada sumber 2 orang penduduk lama Kampung Padang Asam, Padang Rengas iaitu
Puan Taayah bt Mat Asin dan Pn Mahyan Asiah bt Hasyim.
Menurut cerita ayah Pn. Taayah bt Mat Asin, pada akhir tahun 1900,
Penghulu Kampung Serunai (nama lama Kampung Padang Asam), Raja Hamzah telah
bekerjasama dengan penduduk kampung untuk mendirikan sebuah pondok kecil untuk
dijadikan sekolah. Pondok tersebut diperbuat daripada berstrukturkan dinding
tepas bertam dan beratap daun sematan bertam. Pondok kecil itu dibina hanya
berukuran 3 kaki tinggi bersamaan 90cm. Manakala perkakas dalam pondok
diperbuat daripada anak-anak pokok kayu rimba.
Pada awal penubuhan sekolah tersebut, mata pelajaran yang diajar
berteraskan kemahiran mambaca, menulis jawi dan rumi serta mengira. Muridnya
hanya terdiri daripada murid lelaki sahaja. Murid perempuan tidak bersekolah
kerana budaya Melayu ketika itu, tidak menggalakkan sistem pembelajaran bercampur
dalam sesebuah sekolah.
Guru perintis diketuai oleh Cikgu
Kulub lambok Cikgu Ngah Mat Lodin. Pada tahun 1903, kerajaan Inggeris telah
bersetuju mendirikan sebuah sekolah yang berstrukturkan kekal. Peringkat demi
peringkat bangunan sekolah mulai diperbaiki hinggalah didaftarkan kemudiannya
atas nama JKR 165 oleh Jabatan Kerja Raya tanah Melayu.
Sehingga tahun 1904, enrolmen murid lelaki dan perempuan telah semakin
bertambah. Corak pembelajaran murid mulai berubah dengan adanya pengasingan
kelas bagi murid lelaki dan perempuan. Murid lelaki ditempatkan dalam satu blok bangunan khas dan
dinamakan Sekolah Melayu Laki-Laki Padang Asam manakala murid perempuan pula di blok bangunan yang
lain yang dinamakan Sekolah Melayu Perempuan Padang Asam.
Perjalanan sekolah berterusan hinggalah tercetusnya Perang Dunia ke-2, ketika pentadbiran tentera
Jepun sekitar tahun 1943, corak
pembelajaran persekolahannya menjadi tidak tersusun. Ini disebabkan kemahiran
membaca, menulis dan mengira dimestikan oleh pihak Jepun diajar dalam bahasa
Jepun.
Selepas tamatnya Perang Dunia ke-2 pada tahun 1945, bangunan dan struktur
sekolah mulai diletakkan bawah pengawasan Jabatan Pelajaran Negeri. Era
perubahan bermula dengan bilangan murid yang bersekolah semakin meningkat.
Kelas pembelajaran telah diwujudkan
menjadi kelas-kelas, berdasarkan murid dari darjah 1 hingga darjah 6. Nama
sekolah pula ditukar daripada Sekolah Melayu Padang Asam ke Sekolah Umum Padang
Asam. Sekolah kemudiannya diletakkan pula bawah pengawasan dan kelolaan Jabatan
Pelajaran Wilayah Perak Tengah Utara.
Menjelang tahun 1980, bilangan murid di sekolah meningkat dan ini
menyebabkan bangunan lama sekolah tidak sesuai digunakan bagi menampung
bilangan murid yang ramai. Pada tahun 1981,permohonan untuk mendapatkan
bangunan baru sekolah telah dikemukakan oleh Guru Besar ketika itu, Tuan Hj.
Ismail b Hj. Shamsuddin ke Jabatan pelajaran Negeri.
Pada tahun 1982, pembinaan bangunan baru sekolah baru bermula di tapak
sekolah yang baru. Pada tahun 1983, bangunan sekolah ini mulai digunakan.
Sekolah mendapat barunya dan dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Padang Asam,
Padang Rengas. Penyelia sekolah pula diletakkan di bawah pengawasan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan
Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Bangunan sekolah yang ada ini telah
disempurnakan perasmiannya pada 17 Oktober 1985 oleh Yang Amat Berhormat, Dato’
Seri Ramli b. Ngah Talib, Menteri Besar Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan